“AKU ada dengar pakcik tukang kebun sekolah kita bercerita pasal seorang gadis remaja mati kena bunuh di pokok beringin belakang asrama puteri. Ada juga yang mengatakan gadis remaja itu bunuh diri kerana putus cinta. Budak-budak asrama puteri selalu dengar bunyi buaian lama di pokok beringin tu. Seram…” cerita Johan bersungguh-sungguh. Kedua teman baiknya, Fuad dan Haris saling berpelukan. Tengah malam begini buka cerita hantu. Siapa tidak ketar lutut apabila mendengarnya. Lebih-lebih lagi bercerita kisah hantu di sekolah sendiri.
Johan ketawa kecil melihat kedua temannya yang sudah ketakutan itu. Penakut betul! Dia beberapa kali menjenguk di tempat yang dikatakan berhantu itu. Tidak pula dia jumpa gadis remaja yang bermain buaian di situ. Karut saja khabar angin yang heboh diperkatakan satu sekolah mereka! Orang bodoh saja yang akan percaya cerita olok-olok itu.
“Aku baru buka cerita sikit dah takut. Korang berdua ini tak layak jadi lelakilah.” desis Johan. Kedua temannya itu mengetap bibir. Johan memang cakap besar. Takbur!
“Baiklah! Kalau kau benar-benar anak lelaki kau pergi ke tempat gadis itu mati kena bunuh malam ini.” cabar Fuad. Geram sekali dengan sikap bongkak Johan.
“Kau fikir aku takut! Aku terima cabaran kau!” sahut Johan. Kenapa perlu takut kalau tiada hantu di situ. Johan mencapai lampu suluhnya. Dia tersengih. “Aku terima cabaran kau bukan dengan tangan kosong tahu. Kalau aku mampu buktikan yang tempat itu tidak berpuaka! Tidak ada hantu! Kau kena bayar aku RM 100 tau! Kau sanggup!”
Fuad menelan air liur. Dia mengalihkan pandangan pada Haris. Haris menjungkitkan bahu. Johan nampak begitu yakin yang dia akan menang dalam pertaruhan.
“Aku setuju.” balas Fuad lambat-lambat.
“Aku pergi sekarang.’ Johan melangkah keluar dengan hanya berbekalkan lampu suluh. Dia berjalan menyusuri lorong koridor asrama putera itu sebelum menyusup masuk ke dalam kawasan asrama puteri.
Johan bersiul-siul kecil menuju ke belakang blok asrama puteri itu. Hutan di belakang asrama puteri itu tiada sesiapa yang berani masuk untuk mencerobohinya. Orang kata keras dan berpenunggu. Namun Johan tidak pernah mempercayainya. Cerita yang disampaikan sering berubah-ubah dan ditokok tambah. Kalau A kata begini yang B pula akan kata begitu.
Ingatan Johan mengimbas cerita yang disampaikan oleh tukang kebun sekolahnya tempohari. Saja meminta tukang kebun itu bercerita tentang gadis remaja yang dikatakan seringn menjelma bermain buaian pada pokok beringin belakang asrama puteri itu. Itu cerita hantu yang paling hangat diperkatakan.
“Pakcik dengar pun dari tukang kebun sebelum pakcik dua tahun yang lalu. Katanya gadis yang mati itu pelajar dari sekolah ini juga. Gadis itu cantik dan pendiam. Dia punya ramai peminat di kalangan pelajar lelaki. Pokok beringin belakang asrama puteri itu memang ada buaian. Dulu ramai juga pelajar-pelajar perempuan bermain buaian di situ termasukah dengan gadis itu. Tapi sejak mayat gadis itu ditemui di bawah pokok beringin, tiada siapa lagi yang berani menghampiri tempat berkenaan. Mereka kata sering terlihat kelibat gadis itu bermain buaian sambil menangis mendayu-dayu. Pelbagai cerita pasal gadis itu diperkatakan sebab kematiannya dirahsiakan oleh pihak polis atas permintaan keluarganya.”
Tapi betul ke kisah tersebut? Cerita hantu itu pun kisah dua tahun yang lalu. Cerita sudah agak lapok! Johan tersengih sendiri bila ada yang mempercayai cerita hantu itu termasuklah dua teman baiknya Fuad dan Haris. Tanpa sedar, Johan sudah berada di tempat yang dia tujuinya. Johan menyuluh pokok beringin yang masih rimbun menghijau itu. Sayup-sayup desiran angin malam. Dia halakan lampu suluhnya pada buaian yang tergantung pada pokok tersebut.
“Hoi hantu! Kalau kau betul-betul jadi penunggu di sini maka menjelmalah kau depan mata aku! Aku teringin sangat nak tengok muka kau! Aku dengar kau suka main buaian buruk ni!” Johan menyeru.
Sunyi dan sepi. Johan merengus kecil. Mana dia hantu yang budak-budak sekolah ini kecohkan! Tiada pun! Sah-sah Fuad kena bagi dia seratus ringgit! Lepas budget dia bulan ini. Tidak perlu dia minta duit lebih dari papanya. Johan berpaling untuk melangkah pulang.
Krok! Krak! Krok! Krok! Bunyi buaian dihayunkan. Johan behenti dari melangkah. Suara gemersik seorang gadis menyanyi jelas kedengaran pada gegendang telinga Johan. Johan masih tidak berani untuk berpaling ke belakang. Bulu romanya mula meremang. Hilang keberanian Johan sebentar tadi. Yang dipanggil telah kunjung tiba!
“Buai laju-laju….sampai pokok sena….” nyanyian yang sama berulang-kali. “Marilah bermain dengan saya…hihihihihi…” Hilaian tawa halus yang menyeramkan. Johan tidak mampu berganjak dari tempat dia berdiri. Kakinya bagaikan terpaku di situ.
Gadis berambut panjang yang menutupi hampir keseluruhan wajahnya kini berdiri tidak jauh di hadapan Johan. Anak mata Johan membulat besar. Peluh mula memercik pada dahi pada segenap ruang wajah Johan. Bau busuk mula menusuk masuk ke dalam lubang hidung Johan. Johan menekup mulutnya.
“Mariah main bersamaku…” suaranya lagi. Sekelip mata dia sudah benar-benar berada di depan mata Johan.
“Marilah main bersamaku!” Dia mengangkatkan kepalanya lalu menerpa ke arah Johan.
TIADA apa yang dapat diperkatakan apabila mayat Johan ditemui di bawah pokok beringin itu dengan keadaan yang cukup mengerikan. Pihak polis juga tidak dapat mengesan apa-apa cap jari pada mayat Johan. Cara kematian Johan sukar untuk diterima oleh akal fikiran. Tidak mungkin ianya adalah perbuatan binatang buas. Fuad dan Haris menutup mata. Fuad dan Haris yang melaporkan kehilangan Johan kepada warden asrama mereka setelah Johan tidak pulang malam itu. Mereka tidak sanggup melihat mayat Johan yang robek pada bahagian leher dan perutnya. Malah ada beberapa orang pelajar yang tidak mampu menahan loya ditekak.
Mayat Johan ditutup dengan plastik hitam. Seorang guru muda menghampiri salah seorang anggota polis yang berpakaian biasa. Mereka berbual seketika. Wajah anggota polis itu tampak agak tegang. Dia menoleh ke arah Fuad dan Haris. Dia merapati kedua remaja terbabit. Kedua sahabat itu saling berpandangan.
“Saya perlukan keterangan dari adik berdua.” ujarnya lembut.
“Ba…baik.” balas Fuad agak gugup. Fuad dan Haris membuntuti anggota polis berkenaan.
Fuad dan Haris bercerita apa yang berlaku sebelum kejadian yang menimpa Johan malam itu. Namun mereka tidak membuka cerita tentang hantu perempuan itu. Butir bicara yang keluar dari bibir kedua pelajar itu dicatitkan ke dalam buku notanya. Anggota polis itu juga mengambil keterangan dari beberapa orang pelajar yang lain.
Kawasan tempat kejadian menjadi lengang setelah mayat Johan dibawa pergi. Tiada lagi pelajar yang berani untuk menghampiri kawasan tersebut. Namun seorang guru muda masih tidak berganjak dari tempat dia berdiri. Dia melangkah masuk ke tempat kejadian setelah menyedari tiada sesiapa di situ.
Dia ayunkan buaian buruk itu. Krok! Krak! Krok! Krok! Bunyi buaian itu kedengaran. Guru muda itu menghela nafas panjang. Dia sama sekali tidak menduga seorang pelajar kelasnya mati di bunuh. Kematian yang menimbulkan tanda soal?
“Adli…” sayup-sayup suara halus itu memanggil namanya. Dia segera berpaling. Tiada sesiapa di situ. “Adli….” suara itu memanggilnya sayu. Dia menoleh kiri dan kanan. Tiada sesiapa! Raut wajahnya berubah. Telinganya dapat menangkap suara terbabit. Dia tidak bermimpi. Dia yakin ada suara memangilnya. Suara seorang perempuan!
“Cikgu Adli!” Pelajar lelaki itu menghampiri guru muda yang sedang memandang ke arah buainya lama itu. Wajah guru muda itu tampak sugul dan seperti sedang memikirkan sesuatu.
“Kamu panggil cikgu?” ujarnya lembut seperti tiada apa-apa yang berlaku. Pelajar perempuan anggukkan kepala.
“Cikgu…pengetua panggil cikgu. Cikgu tidak apa-apa?” Direnung wajah guru muda itu.
Dia gelengkan kepalanya. “Cikgu tidak apa-apa.” Dia membuka mengaturkan langkah membuntuti pelajar lelaki itu.